Saturday 7 April 2012

Wajib Berdakwah Walaupun Diri Belum Sempurna


Wajib Berdakwah Walaupun Diri Belum Sempurna

Ramai orang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas setiap individu. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan. Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan
amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.

Berhubung dengan isu ini, Imam Said bin Jubair berkata: "Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak
kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran."
Imam Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau menambah:"Dan siapakah antara kita yang lengkap dan sempurna?"

Sebahagian umat Islam tidak mahu berdakwah kerana merasakan dirinya
belum mengamalkan segala ilmu yang sudah diketahui. Mereka juga khuatir tidak dapat melaksanakan perkara yang diseru. Berhubung dengan ini, Imam al-Hasan berkata:"Siapakah antara kita yang telah melaksanakan segala yang
diserukannya? Syaitan amat menyukai jika manusia terpedaya dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran."


Secara dasar, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap individu yang mukalaf dan berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Hakikatnya, Islam mengakui tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza. Justeru nabi bersabda:"Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah clicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan
hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman."
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.


Berhubung dengan mencegah kemungkaran, kadar minimum yang dituntut adalah mengingkarinya dengan hati. Di dalam kitab Dalil al-Falihin disebutkan: “Mencegah kemungkaran dalam hati bermaksud membencinya dengan hati disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan apabila dia mampu. Membenci maksiat dengan hati hukumnya adalah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang menyetujui suatu kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.”
Iman memerlukan bukti dan salah satu buktinya adalah membenci maksiat. Tanpanya, iman akan berkecai dalam hati seseorang. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi berhubung dengan perkara ini yang bermaksud: “(Jika hati seseorang tidak membenci kemungkaran), tidak ada selepas itu iman walaupun sebesar biji sawi.”
Hati yang tidak membenci kemungkaran akan binasa. Sahabat nabi bernama Abdullah ibn Masud pernah menegaskan: “Binasalah mereka yang tidak dapat membezakan yang makruf dan mungkar dengan hatinya.”

Secara dasar, pengabaian dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar mengundang azab dan seksaan daripada Allah. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 25 Allah berfirman: “Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa ke atas mereka yang zalim dari kalangan kamu sahaja. Dan ketahuilah Allah maha keras seksaannya. ”Ayat ini menjelaskan, apabila azab menimpa disebabkan kemungkaran yang berleluasa, ia tidak hanya menimpa ke atas
mereka yang melakukan maksiat, ia juga menimpa ke atas mereka yang soleh yang mengabaikan dakwah.

Ayat ini disokong oleh beberapa hadis Nabi yang antaranya diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Zainab binti Jahsy bertanya kepada Nabi, “adakah kita akan dimusnahkan sedangkan golongan yang soleh masih ada dikalangan kita?” Nabi menjawab, “Ya.. apabila kekejian berleluasa.”

Dalam riwayat lain oleh Imam Tarmizi, Nabi bersabda: “Apabila manusia melihat kezaliman dilakukan oleh seseorang yang zalim dan mereka tidak mencegahnya, tidak berapa lama lagi azab daripada Allah akan menimpa ke atas mereka semua.”

Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud: “Perumpamaan mereka yang memelihara batas-batas agama Allah dengan golongan yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapa yang dipenuhi penumpang pada bahagian atas dan bawahnya. Golongan yang berada dibahagian bawah, apabila ingin mengambil air terpaksa menaiki bahagian atas kapal bagi
mendapatkannya. Akhirnya penumpang bahagian bawah berkata, ‘alangkah baiknya jika kita tebuk saja lantai kapal ini untuk mendapatkan air dan dengan cara demikian kita tidak lagi menyusahkan rakan-rakan kita pada bahagian atas.’ Jika penumpang- penumpang pada bahagian atas tidak mencegah perbuatan rakan-rakan mereka di bawah, mereka semua akan tenggelam.
Jika mereka mencegah, kesemua mereka akan selamat.”


Imam Nawawi rahimahullah berkata: “Para ulama' menyatakan bahawa tidak disyaratkan pada orang yang mengajak kepada kebaikan atau orang yang mencegah daripada kemungkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Tetapi, dia mesti tetap mengajak kepada kebaikan walaupun dia memiliki kekurangan dalam hal yang dia ajak kepadanya, dan dia tetap mencegah kemungkaran walaupun dia terkadang mengerjakan apa yang dia cegah. Kerana sesungguhnya wajib pada dirinya dua perkara iaitu: mengajak dirinya sendiri ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, dan mengajak orang lain ke arah kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada yang mungkar. Tidak boleh ia melalaikan salah satu dari dua perkara tersebut.” (Syarah Sohih Muslim)

`Dari Hazrat Anas rhu bahawa para sahabat bertanya kpd Rasulullah saw, "Wahai Rasulullah, adakah betul bahawa kami tidak patut menyeru manusia kpd amalan2 yg baik sehingga kami beramal dgn semua kebaikan dan kami tidak patut mencegah mrk drp kemungkaran sehingga kami sendiri menjauhi kesemuanya?" Maka Rasulullah saw bersabda, "Bukan begitu, serulah kepada amalan2 yg baik w/pun kamu belum beramal dgn kesemuanya dan cegahlah drp kemungkaran w/pun kamu belum menjauhi kesemuanya." (HR Imam Tabarani dlm kitab Mu'jam Soghir dan Ausat).

KEMANISAN IMAN AKAN DAPAT DI CAPAI HANYA APABILA KITA BUAT USAHA ATAS IMAN..

No comments:

Post a Comment