Tuesday 29 April 2014

MAKANAN HALAL DAN SYARAT PENERIMAAN DOA


عَنْ أَبِي هُرَیْرَة رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الله تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ یَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبَا وَإِنَّ الله أَمَرَ المُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ المُرْسَلِيْنَ فَقَالَ تَعَالَى: { یَآ أَیُّهَ االرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا } وَقَالَ تَعَالَى: { یَآ أَیُّهَا الَّذِیْنَ آمَنُوْا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاآكمْ } ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ یُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ یَمُدُّ یَدَیْهِ إِلَى السَّمَآء: یَا رَبّ! یَا رَبّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِي بِالحَرَامِ، فَأَنَّى یُسْتَجَابُ لَهُ!

رواه مسلم.

یَآ أَیُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحً ( Surah al-Mukminun: 51)

یَآ أَیُّهَا الَّذِیْنَ آمَنُوْا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاآُمْ ( Surah al-Baqarah: 172)



Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: ()Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh)). Dan Allah Ta’ala berfirman: ((Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu)).

Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?



KEFAHAMAN HADIS

1. Yang Baik & Diterima

Allah SWT tidak menerima amalan melainkan ia baik dan suci daripada sebarang kerosakan kesemuanya termasuk riya’ dan ujub. Allah SWT tidak menerima apa sahaja yang dibelanjakan dari hartabenda melainkan harta yang baik, suci dan halal. Rasulullah SAW juga menggesa agar sedekah yang dikeluarkan hendaklah dari harta yang diperolehi dari usaha yang halal dan baik.



2. Sebab Penerimaan Doa

a. Jauh Jarak Perjalanan

dengan bermusafir akan menyebabkan penerimaan doa. Apabila jauh jarak perjalanan itu maka ia lebih hampir kepada penerimaan doa kerana sesungguhnya ia akan menjadi sebab bagi keleburan jiwa dalam mengharapkan rahmat Allah SWT lantaran jauhnya perkelanaan dan berat kesusahan yang dipikuli.



b. Mewujubkan Keadaan Lusuh dan Usang pada Pakaian dan Keadaan Diri

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang masyhur maksudnya: “Moga-moga seorang yang kusut masai rambutnya dan  berdebu tubuhnya, hanya memakai sehelai pakaian, sering diusir dari muka pintu (rumah-rumah apabila meminta), jika ia berdoa kepada Allah akan menerima doanya”.



c. Menghulurkan Kedua-dua Tangan ke Arah Langit

Nabi SAW telah mengangkat kedua-dua tangan di dalam solat Al-Istisqa (solat minta hujan) sehingga jelas kelihatan keputihan warna kedua-dua ketiaknya dan mengangkat kedua-dua tangannya pada hari peperangan Badar memohon pertolongan Allah untuk memusnahkan kaum musyrikin sehingga jatuh selendang baginda SAW dari bahunya.



d. Merintih-rintih & Bersungguh-sungguh Dalam Berdoa

Iaitu dengan berulang-ulang kali menyebut rububiyyah (Ya Tuhanku, Ya Tuhanku!) dan ini adalah salah satu faktor yang besar dituntut bagi syarat penerimaan doa.



3. Doa Adalah Kepala Ibadah

Justeru seseorang yang berdoa ketika terputus harapannya pada yang lain selain dari Allah SWT adalah merupakan hakikat tauhid dan ikhlas dan tiada ibadat yang mengatasinya. Dalam erti kata lain, hanyalah pada Allah SWT ia meminta justeru ia berkeyakinan jitu bahawa selain dari Allah semuanya makhluk ciptaan Allah tidak boleh memberi manfaat dan tidak boleh mendatangkan mudarat melainkan dengan izin Allah jua apatah lagi untuk mengabulkan permintaannya.




(Sumber: Al-Wafi fi Syarh al-Arbain Nawawiyyah oleh Dr Mustafa al-Bugha & Dr Muhyiddin Mistu. 2007. Dar al-Kalam al-Tib, Dimashq.)

No comments:

Post a Comment