Thursday 1 May 2014

ADAB DUDUK DALAM MAJLIS ILMU

1.    ADAB DUDUK DALAM MAJLIS ILMU

Maksudnya : Dari Abu Waqid Al Laitsi RA bahawa ia berkata, ‘Ketika Nabi sedang duduk dalam masjid bersama para sahabat, datanglah tiga orang; dua orang di antaranya masuk ke dalam masjid dan satu orang lagi terus saja pergi. Setelah keduanya sampai di hadapan Rasulullah, seorang di antaranya melihat tempat kosong di tengah-tengah jemaah, maka ia duduk di situ. Yang seorang lagi duduk di belakang mereka, sedangkan orang yang ketiga terus saja pergi. Ketika selesai memberikan khutbah, Rasulullah bersabda, “Baiklah, akan saya jelaskan tentang ketiga orang itu; yang seorang mencari tempat di sisi Allah, maka diberi oleh Allah. Orang yang kedua merasa malu-malu, maka Allah pun malu kepadanya. Sedangkan orang yang ketiga berpaling, maka Allah pun berpaling darinya.” ( Hadith riwayat al-Bukhari)

Dalam hadith ini mengandungi anjuran untuk membentuk halaqah dalam majlis zikir atau majlis ilmu, dan orang yang datang dahulu berhak untuk duduk di hadapan. Hadith ini juga menganjurkan kita untuk mengisi shaf (barisan) yang kosong dalam solat. Dalam hal ini, seseorang diperbolehkan untuk lalu di hadapan orang lain selagi mana tidak mengganggunya. Akan tetapi jika ia khuatir akan mengganggunya, maka dianjurkan untuk duduk paling belakang seperti yang dilakukan oleh orang kedua dalam hadith ini. Hadith ini juga mengandung pujian bagi orang yang rela berdesakan untuk mencari kebaikan atau pahala.

(Orang yang kedua merasa malu-malu) bermaksud orang yang tidak mahu berdesak-desakan seperti yang dilakukan oleh orang yang pertama, kerana ia malu kepada Rasulullah dan hadirin dalam majlis itu, menurut pendapat Qadhi ‘Iyadh. Sedangkan Anas telah menjelaskan penyebab rasa malu orang tersebut sebagaimana diriwayatkan oleh Hakim bahawa dia berasa malu untuk meninggalkan majlis seperti yang dilakukan oleh temannya yang ketiga.

(Maka Allah pun malu kepadanya) bermaksud Allah tidak akan memberinya rahmat, tetapi juga tidak akan menyeksanya. Manakala (Maka Allah pun berpaling darinya) atau Allah murka kepadanya, iaitu kepada orang yang meninggalkan majlis bukan kerana suatu halangan jika ia adalah seorang muslim, atau mungkin ia adalah orang munafik sehingga Nabi mengungkapkan keburukannya, atau mungkin adalah sebagai pemberitahuan atau doa.

Ibnu Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Gazirah Abdi Ummah. Cetakan 9. Jilid 1. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitabul Ilmi. Bab 8. Halaman 293-295.

No comments:

Post a Comment